Saturday, November 24, 2012

~ Suratan Atau Kebetulan~


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sejenak kita merenung dalam hayat perjalanan hidup ini, entah berapa banyak perkara yang berlaku bukan di atas kehendak kita. Kita berkehendakkan sesuatu yang lain, tetapi lain yang terjadi. Hingga kita merasakan sesuatu itu adalah satu kebetulan. Namun semua itu adalah perancangan Allah S.W.T.  Kita lupa bahawa,..disebabkan perkara itulah kita berada ditempat sekarang ini.

Jika insan dalam hidupnya meletakkan seluruh pergantungan hanya pada Allah S.W.T, dia akan merasakan hidup ini sangat luas. Insan tahu dan sedar bahawa Allah sentiasa ada. Jika insan tidak bergantung pada Allah, dalam hidupnya sentiasa asyik memikirkan kemana arah tujuannya. Dia lupa bahawa,..akhiratlah kehidupan sebenar. Dunia ini hanyalah persinggahan semata.

Insan menginginkan kebahagian dalam hidup. Kadang –kadang kita fikir hidup akan bahagia jika mempunyai rumah yang besar, pangkat yang tinggi dan harta yang banyak. Namun semua itu tidak menjamin kebahagian.
Allah S.W.T akan mencampakkan nikmatNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki dengan caraNya tersendiri.  Kita tidak perlu bersedih jika melihat diri yang serba kekurangan berbanding orang lain yang kehidupan mereka lebih senang daripada kita. Bergantung haraplah pada Allah S.W.T., kerana jika insan bergantung harap pada Allah, ingat Allah, dia akan merasai hubungan dengan Allah, maka dia akan melihat dunia ini kecil sahaja.    Bergantung haraplah pada Allah, berhubunglah dengan Allah, kerana Allah Maha Pemilik segala khazanah di langit dan bumi ini.

Kadang-kadang kita berasa kecewa akan berapa banyak yang kita minta pada Allah tapi Allah tidak terima. Namun kita lupa bahawa pada hari yang kita meminta pada Allah dengan hari yang sekarang ini,..entah berapa banyak masalah yang telah berjaya kita selesaikan. Sering kita lupa akan hubungan kita dengan Allah. Hubungan dengan Allah tidak seperti hubungan bos dengan pekerja bawahannya di tempat kerja. Jika bos ditempat kerja meminta kepada pekerjanya,..dia akan dapat pada masa itu apa yang disuruhnya.  Manusia ini tergesa-gesa, tidak sabar,..hingga apa yang dihajatkan dan diinginkan mesti ditunaikan pada waktu yang singkat. Namun Allah ingin  menghindar manusia daripada sikap sombong, riak, takabbur…Allah ingin kita menjadi hambaNya yang sabar, merendah diri dan sujud padaNya. Mintalah kepada Allah dengan hati yang ikhlas dan penuh sabar. Allah tidak pernah lupa pada hambaNya yang sentiasa beribadat kepadanya.

Nota : tulisan ini hasil ulasan dari ceramah Dr. MAZA.

~aku menulis untuk peringatan diri ini sendiri dan juga buat kalian pembaca~

No comments: