Monday, December 28, 2009

2010.....10 tahun menjelang 2020

28 Disember 2009 / 11 Muharam 1431

UTUSAN: Sejauh mana kekuatan ekonomi negara dalam menempuh cabaran sepanjang 2010 dan tahun-tahun mendatang?

HAIM HILMAN: Pada dasarnya 2010 adalah tahun mencabar buat negara sama seperti 2009 kerana persekitaran ekonomi dunia masih lagi berada di peringkat pemulihan. Malaysia juga akan menghadapi persekitaran ekonomi lembap sepanjang tahun hadapan. International Monetary Fund (IMF) menjangkakan ekonomi dunia akan berkembang pada kadar sekitar 2.5 peratus pada 2010.

Malaysia secara khususnya menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tiga peratus, iaitu kecil dari jangkaan awal sekitar empat hingga lima peratus. Keadaan ini adalah gambaran jelas akan kesukaran yang dihadapi negara untuk benar-benar keluar dari kemelut ekonomi semasa.

Namun, dunia boleh dianggap bernasib baik kerana kesan kemelesetan ekonomi yang melanda tidaklah seburuk yang dijangkakan dan 2010 akan menyaksikan pertumbuhan positif ekonomi dunia bermula.

Merujuk kepada Malaysia sendiri iaitu berdasarkan peruntukan sebanyak RM191.5 bilion untuk 2010 iaitu 11.2 peratus lebih rendah daripada yang diperuntukan untuk 2009, jelas menunjukkan bajet itu tidak dapat banyak membantu Malaysia meningkatkan pertumbuhan ekonomi lebih daripada 3 peratus seperti yang dijangkakan oleh MIER jika tidak disusuli dengan langkah komprehensif menyusun semula model ekonomi negara.
Oleh itu negara sememangnya memerlukan model ekonomi terancang baru untuk mengganti model ekonomi semasa yang terlalu bergantung kepada sektor pembuatan dan komoditi. Era dan sumbangan sektor pembuatan dan komoditi yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia selama ini semakin menghampiri penghujungnya. Namun, itu tidak bermakna dua sektor ini harus diabaikan kerana kedua-duanya masih mampu menyumbang jika disusun semula mengikut persekitaran semasa.

Menitikberatkan aspek nilai tambah, berteknologi tinggi, inovatif, cekap, kualiti, unik dan sebagainya di dua sektor ini mampu membantu Malaysia meminimumkan risiko transformasi ekonomi yang sedang dirancang. Malahan jika penyusunan semula sektor utama ekonomi sedia ada diintegrasikan secara strategik dengan model ekonomi terancang baru, ia mampu memberi kesan lebih positif kepada negara.
Bagaimanapun kejayaan transformasi ekonomi tidak hanya bergantung kepada model ekonomi itu tetapi lebih kepada kaedah perlaksanaannya. Ia sewajarnya harus dirakyatkan kerana perubahan dasar besar seperti ini memerlukan pendekatan secara strategik dan mendapat sokongan semua.

Usaha ini harus dijiwai oleh setiap lapisan pemimpin tanpa mengira latar belakang politik, masyarakat, bangsa dan individu. Dengan kata lain cabaran utama negara selain menggubal pelan ekonomi baru ialah memastikan ia mendapat sokongan jitu rakyat.

Siri jelajah dan penerangan ke seluruh negara menerusi pelbagai perantara komunikasi harus dilakukan bagi memastikan rakyat, pemain industri kecil, sederhana dan besar faham akan model ekonomi baru dan keperluannya di samping bagaimana model ekonomi semasa ditambah baik dan diintegrasi dengan model baru itu.
Adakah persekitaran ekonomi negara ketika ini berada pada landasan yang baik untuk membawa negara mencapai status negara maju pada 2020 yang hanya berbaki kira-kira 10 tahun lagi?

Persekitaran dan model ekonomi semasa negara hari ini tidak mampu membawa kepada status negara maju pada 2020. Memang benar negara pernah merekodkan kadar pertumbuhan ekonomi yang membanggakan di tiga tahun pertama RMK-9 yang mana negara mencatat pertumbuhan ekonomi antara tujuh hingga lapan peratus. Malahan sebelum krisis kewangan 1997/98 melanda, Malaysia pernah menerima jolokan Harimau Asia.

Adalah tidak mustahil untuk negara mencapai Wawasan 2020 jika kadar ini beterusan dan jolokan itu dapat dikembalikan. Malah, mungkin boleh dicapai lebih awal. Malangnya pada 2008 dan 2009 kemelesetan ekonomi dunia menyebabkan KDNK negara terkesan teruk dan pada 2010 ia dijangka akan tumbuh pada kadar 3 peratus sahaja. Jika ini tidak diatasi maka Wawasan 2020 berada di luar jangkauan.

Oleh sebab itulah perlunya kadar pertumbuhan KDNK pada kadar 5.5 peratus setahun. Jika kadar ini atau lebih baik dapat dicapai setiap tahun sehingga 2020, maka Wawasan 2020 itu mampu dicapai. Di sinilah cabaran besar negara yang mana kerajaan menyedari bahawa model ekonomi negara sedia ada tidak mampu lagi menjana pertumbuhan pada kadar tersebut.

Kemerosotan kadar Foreign Direct Investment (FDI) melabur di negara ini di samping sifat terlalu berhati-hati pelabur tempatan membuat pelaburan dalam negara turut menyumbang kepada kadar pertumbuhan KDNK yang rendah ini.
Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tempoh itu?

Pilihan menjalin kerjasama strategik dengan sektor swasta amat perlu dan harus dirancang secara komprehensif sejajar dengar aspirasi Wawasan 2020. Kerajaan pada dasarnya tidak akan mampu melakukan sendiri. Di samping itu, kerajaan juga akan dianggap tidak cekap mengeksploitasi peluang di persekitarannya jika tidak membina hubungan strategik dengan sektor swasta.

Kerjasama itu tidak seharusnya terikat dengan konglomerat tempatan sahaja tetapi boleh dilebarkan kepada konglomerat asing. Walaupun dasar sedemikian boleh membawa pelbagai implikasi, tetapi jika dirancang secara strategik dan berpilih-pilih, ia mampu memberi manfaat lebih besar kepada negara dan rakyat. Di sinilah perlunya negara membentuk model ekonomi baru terancang.

Di samping itu pakej rangsangan ekonomi masih diperlukan untuk tahun 2010 kerana jika dilihat dari keadaan semasa, pakej rangsangan yang sudah diluluskan iaitu RM67 bilion masih belum mampu memberi impak besar kepada KDNK negara.

Persoalannya adakah keseluruhan pakej itu telah digunakan atau sebaliknya juga wajar dijelaskan kepada rakyat. Ini kerana maklumat sedemikian mampu menjadikan kerajaan lebih telus dalam usahanya membina semula ekonomi negara. Satu laporan berkala tentang kadar penggunaan dan kesan peruntukan RM67 bilion itu wajar dibentangkan dan dibahaskan pencapaiannya di Parlimen dan dimaklumkan kepada rakyat.
Usaha memantau persekitaran kewangan negara dan dunia yang rapi oleh Bank Negara juga wajar diteruskan kerana pendekatan sedemikian mampu menjadikan negara dalam keadaan peka dan bersedia.

Kecenderungan kerajaan untuk membentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi juga baik. Ini kerana inovasi dan usaha meningkatkan nilai tambah untuk setiap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mampu menjadi landasan baru kepada pembangunan ekonomi yang mampan.

Malaysia tidak perlu satu model ekonomi yang benar-benar berbeza dari apa yang dimiliki hari ini kerana perubahan mendadak akan hanya membawa lebih banyak permasalahan dari segi pelaksanaan dan integrasi.

Apa yang diperlukan ialah mengenal pasti atau mewujudkan sektor perkhidmatan dalam ekonomi berasaskan industri. Inilah model yang digunakan oleh negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan kebanyakan negara-negara maju yang lain.
Negara harus merancang menitikberatkan usaha mewujudkan lebih banyak syarikat tempatan berasaskan perkhidmatan yang mampu menjadi syarikat antarabangsa dan global. Jadikan usaha serivitization produk sebagai salah satu komponen penting dalam model ekonomi baru negara itu.

Apa yang boleh dinilai daripada kecenderungan kerajaan menggalakkan pertumbuhan ekonomi berteraskan teknologi hijau?

Usaha kerajaan mempromosi teknologi hijau ini wajar disokong. Namun, kerajaan harus memainkan peranan jauh lebih besar daripada itu dan perancangan strategik menjadikan Malaysia hub Teknologi Hijau utama dunia wajar dipertimbangkan secara serius. Ini kerana ia menjadi masa terbaik untuk Malaysia memainkan peranan lebih aktif dan aggresif kerana itulah hala tuju baru dunia.

Usaha kerajaan menstruktur semua Pusat Tenaga Negara dan menukarnya menjadi Pusat Teknologi Hijau Kebangsaan di samping menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai pemangkin bandar berteknologi hijau juga adalah sangat baik. Tetapi usaha lebih agresif daripada itu wajar dikenal pasti dan laksanakan.

Satu pelan pembangunan strategik berorientasikan teknologi hijau untuk semua industri dan sektor yang menjadi asas serta penyumbang kepada ekonomi negara sedia ada dan masa depan wajar digubal. Bagaimanapun, adalah wajar bagi kerajaan menjadikan sektor swasta sebagai rakan strategiknya dalam usaha membangunkan cabang baru ekonomi ini.

Adakah tumpuan yang sama wajar diberikan dari sudut pendidikan?
Usaha berterusan kerajaan dalam sektor pendidikan juga amat bertepatan dengan aspirasi persekitaran dunia hari ini yang memberi penekanan kepada aspek pengetahuan dan ekonomi pengetahuan (knowledge economy). Nilai ini telah menjadi salah satu pemangkin kepada ekonomi negara maju.

Apa yang perlu dilakukan ialah memastikan kurikulum pendidikan negara di setiap peringkat pendidikan (rendah, menengah dan tinggi) sejajar dengan realiti persekitaran industri yang memacu ekonomi negara.

Satu KPI harus dikenalpasti untuk dijadikan perantara menilai pencapaian institusi pendidikan negara kerana keperluan kepada sejumlah dana yang besar untuk melatih mereka yang baru meninggalkan pusat pengajian tinggi adalah kesan daripada kepincangan kurikulum pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar. Mengapa perlu ada pihak ketiga menawarkan khidmat latihan itu dan mereka ini adalah syarikat-syarikat perunding dan latihan yang jelas matlamat penubuhannya adalah keuntungan.

Adalah lebih baik dana yang diperuntukkan disalurkan terus ke institusi pengajian dan digunakan untuk membina kurikulum pendidikan yang benar-benar berteraskan keperluan industri. Di samping itu, hubungan lebih rapat dengan pemain industri juga boleh terjalin. Telah tiba masanya institusi pengajian tinggi diurus tadbir oleh mereka yang mempunyai hubungan rapat atau pro industri.

Bagaimana pula dari sudut ekonomi rakyat? Adakah 2010 akan kekal menjadi tahun ekonomi yang mencabar bagi kebanyakan kumpulan rakyat?

Rakyat pada dasarnya akan berhadapan dengan persekitaran yang lebih baik dari 2009. Namun, ini tidak bermakna taraf hidup rakyat akan berubah kepada lebih baik dengan ketara kerana persekitarannya masih tidak jauh berbeza dari 2009. Ini bukan sahaja disebabkan oleh persekitaran ekonomi dunia semasa, tetapi asas ekonomi negara ini sendiri yang tidak lagi mampu membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang baik jika sesuatu tidak dilakukan.

Mereka yang tidak berkemahiran, miskin dan kurang upaya akan terus terpinggir jika sistem ekonomi kapitalis yang digunakan kini tidak diuruskan secara berkesan. Sesetengah pendekatan yang lebih terarah kepada populariti untuk kepentingan politik yang amat sinonim dengan kebanyakan ahli politik yang menjadi pemimpin dan penggubal dasar wajar dihentikan.

Rakyat bukan mahukan pemimpin yang mahu menggunakan kemiskinan mereka sebagai landasan pemimpin itu menjadi popular tetapi rakyat mahukan pemimpin yang mampu menyelesaikan masalah mereka secara komprehensif.

Di samping itu kerajaan harus mengelak daripada mengambil langkah mudah untuk menjana pendapatan negara dengan cara memperkenalkan cukai-cukai baru yang membebankan rakyat. Apa yang harus dilakukan ialah perangi secara telus segala korupsi, penyelewengan dan rasuah tanpa mengira latar belakang individu atau agensi kerana pasti berbilion ringgit boleh dijimatkan daripada pendekatan ini.
Perkemaskan dan kuat kuasa undang-undang terhadap mereka yang didapati bersalah merompak harta negara atau lebih tepat lagi harta rakyat. Jangan biarkan mereka yang melakukan rompakan di siang hari ini terlepas begitu sahaja atau dihukum dengan hukuman yang ringan.

Bantuan juga harus diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan jangan dibeza-bezakan. Kemiskinan adalah kemiskinan dan ia tidak mengenal siapa. Semua yang menjadi mangsanya pasti memerlukan pembelaan sewajarnya.

Jadikanlah faktor kemanusiaan lebih tinggi dari faktor kepartian dan politik kerana itulah asas yang dianjurkan oleh Islam dan pastinya boleh diterima oleh seluruh umat manusia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
Jika ini berjaya dilakukan maka pastinya semangat 1Malaysia yang adil akan dapat direalisasikan.

Artikel dari : Utusan Malaysia

Thursday, December 24, 2009

M.E.L.A.Y.U

Usman Awang

Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka