Tuesday, November 23, 2010

termometer.....reostat....sandiwara

Manusia itu kita boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan termometer dan golongan reostat. Golongan itu dibahagikan mengikut sifat dan ciri-ciri yang ada pada radas itu. Satu pemanipulasi dan satu lagi dimanipulasi. Itulah hakikat manusia hari ini. Ada yang menjadi pemanipulasi atau pengubah keadaan seperti reostat, dan ada yang menjadi seperti termometer yang dimanipulasikan dan berubah mengikut keadaan. Jadi apa motivasi dari hakikat ini?

Sudah menjadi fitrah manusia untuk dilahirkan dengan sifat malu, rendah diri. Ada sesetengah daripada mereka, yang sentiasa berasa sangat malu selalu. Alahai hendak mendengar suara dia punyalah susah. Macam ada emas dalam mulut dia. Ada sesetengah pula tidak tahu malu. Cakap tidak berhenti-henti, orang sudah bagi isyarat berdehem dekat 10 kali dah, tak faham-faham. Uish, memang tak faham bahasa dia ni. Tapi hakikatnya sifat malu atau rendah diri yang tidak dikawal supaya jangan terkurang atau terlebih menyebabkan adanya golongan termometer dan reostat.

Kita mulakan dengan termometer dulu, sebab saya yakin, anda semua kenal sangat benda ini. Ala, kalau kita sakit, ibu kita atau doktor suruh nganga, letak dekat mulut untuk mengukur suhu badan kita. Oh, golongan termometer ni golongan selalu sakit ke? Bukan! Termometer dalam makmal fizik ke, yang kuning panjang, yang kita buat main kadang-kadang tu? Bukan jugak! Perkara yang saya nak ketengahkan ialah sifat termometer itu. Berubah ikut keadaan semasa, atau dalam kata lain dimanipulasikan oleh keadaan sekeliling.

Kalau kita perhatikan dunia hari ini, memang terdapat banyak golongan termometer ini. Disebabkan kurang keyakinan dalam diri, atau malu, atau rendah diri, mereka lebih suka ikut sahaja orang di sekeliling mereka. Mereka takut untuk membuat keputusan sendiri, kerana mereka menjangkakan apa-apa yang mereka buat akan dicemuh dan dibangkang orang. Jadi mereka takut untuk mengambil langkah permulaan, sebaliknya lebih suka mengikut apa-apa yang orang dah buat.

Tidak dinafikan, jalan yang telah dilalui oleh orang lain dan terbukti selamat, itulah jalan atau pilihan terbaik. Tapi kejayaan kita akan setakat dibawah naungan orang yang pernah berjaya itu. Tidak ada bezanya dan tidak akan maju. Jikalau misalnya kawan kita itu, memilih hendak mengambil jurusan perakaunan, dan terbukti dia berjaya. Malahan dia mendapat tawaran bekerja di Bank Negara. Wah! Kalau kita ikut apa-apa dia buat mesti kita akan berjaya juga. Kalau anda rasakan ini adalah betul, sebenarnya salah.

Ada pepatah Melayu berbunyi "rambut sama hitam, hati lain-lain" dan pepatah Inggeris yang berbunyi "it's take all sort to make the world". Pepatah ini sengaja dipetik, kerana pepatah ini memberi maksud, setiap orang adalah tidak sama. Walaupun sepasang kembar dilahirkan dengan rupa dan suara yang sama sekalipun, mereka tetap berbeza. Begitu juga, anda dengan kawan anda. Anda dengan dia adalah berbeza. Mengapa harus, anda ikut cara dia. Mungkin dia boleh berjaya dalam bidang perakaunan itu, tapi bolehkah anda? Bukan bermaksud hendak merendahkan diri sesiapa, tetapi berfikirlah sejenak, kekuatan setiap orang tidak sama. Ada orang cenderung ke arah sains, ada yang cenderung ke arah kira-kira dan lain-lain.

Bukan apa, kadang-kadang dalam hidup ni, kita minat pertanian. Bila beritahu ibu bapa kita, ibu bapa kata bidang itu, tidak ada masa depan. Seraya berkata "Pernah ke dalam keluarga ni ada orang berjaya dalam bidang ini?" Justeru menyebabkan kita tidak yakin, malu dengan keputusan kita itu. Maka datanglah penyakit termometer dalam diri kita. Kita berubah ikut keadaan semasa, tanpa kerelaan hati. Kalau masa itu, trend mengambil profesion perguruan yang paling terjamin dan popular, maka kita pun terikut-ikut mengambil profesion itu. Terseksalah kita andai profesion itu tidak kena dan tidak serasi dengan kita. Hal ini berlaku kerana kita menjadi golongan termometer.

Kita mengikut keadaan di sekeliling kita. Kita dimanipulasikan oleh keadaan sekeliling, sehinggalah apabila kita tersedar suatu hari nanti, kita sudah tersesat dari landasan asal. Untuk maju kehadapan dan mencipta kejayaan, seseorang itu hendaklah memacu kejayaan mengikut acuannya sendiri. Setiap orang tidak dilahirkan untuk menjadi pandai. Mungkin kepandaian itu Allah telah pindahkan kepada kemahiran yang lain. Kita lihat contoh Dato' Jimmy Choo. Kalau diteliti latar belakangnya, ternyata pencapaian akademiknya bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi beliau tidak menjadi termometer. Beliau cuba menongkah arus semasa, dengan menceburi bidang pembuatan kasut. Sesuatu yang asing pada masa itu, dan lihatlah bagaimana dia berjaya.

Kenali potensi diri. Cuba duduk sejenak, kenal dengan diri anda sendiri. Lihat apa kecenderungan anda? Membuat sesuatu yang anda minati dan mahir adalah lebih baik daripada membuat sesuatu kerja kerana terikut-ikut dengan orang lain. Perubahan paling baik ialah perubahan yang berlaku dari dalam dan dekat dengan diri, minat anda kerana itu kekal, perubahan paling buruk ialah perubahan luaran kerana itu lakonan. Fikirkanlah, kalau anda sekadar menjadi termometer, mengikut keadaan sekeliling sahaja tanpa kerelaan, dan tanpa pengetahuan mendalam tentangnya, sudah tentu anda sedang menganbil jalan yang sukar. Di dalam Al-Quran sendiri ada ditegaskan supaya jangan mengikuti sesuatu perkara tanpa pengetahuan yang mendalam tentangnya.

Allah pernah berfirman dalam surah Al-Israk ayat 36: Janganlah kamu mengikut apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.

Lihatlah cara Islam itu sendiri disebarkan. Tiada paksaan dikenakan. Misalnya ketika Salahudin Al-Ayubi berjaya menakluki Kota Jerusalem, penduduk Kristian tidak dipaksa memeluk Islam, walaupun majoriti ketika itu beragama Islam. Hal ini demikian kerana Islam tidak mahu penganutnya terdiri daripada golongan termometer iaitu golongan yang memeluk Islam kerana keadaan semasa. Apabila keadaan yang sedia ada berubah, keimanan itu juga turut berubah bersama. Islam amat menekankan kesedaran dan minat yang mendalam di dalam hati, dan sebagai umat Islam kita haruslah membuang sikap atau ciri-ciri termometer itu.

Beranilah untuk membuat keputusan sendiri. Berani mengambil tanggungjawab dan membuat sesuatu perkara sendiri. Janganlah terlalu bergantung kepada sesuatu melainkan Allah. Jikalau selama ini kita selalu bergantung kepada ibu bapa untuk membuat keputusan, ingatlah kematian akan menjemput mereka suatu hari nanti. Begitu juga dengan mengharapkan kawan, isteri atau guru. Setiap yang hidup pasti merasai mati. Disaat kita hilang pergantungan akan hilang arahlah diri kita. Tidak tentu hala dan tenteram.

Disinilah perlunya menjadi golongan reostat, iaitu golongan yang yang mengubah keadaan dan memanipulasikan keadaan. Kita yang tentukan apa-apa kita hendak kita perlu buat. Keadaan sekeliling diambil kira juga, tapi kita berpijak diatas keputusan sendiri dan memulakan langkah pertama, bukannya mengikut orang lain.

Allah menegaskan perkara ini dalam Al Quran dalam surah Ar-Raad ayat 21 yang bermaksud: Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubahnya sendiri.

Jelasnya dalam firman diatas Allah menyuruh kita berusaha sendiri mengubah nasib kita. Kita harus mengubah keadaan, harus berani menongkah arus. Bukannya mengikut-mengikut keadaan sekeliling dan berharap keapada orang lain. Berpegang kepada ayat inilah, umat Islam mencapai kegemilangannya sekitar abad ke-14. Jikalau umat Islam pada waktu itu, menjadi golongan termometer, golongan yang mengikut keadaan semasa, sudah tentulah dunia akan hancur. Bayangkanlah, bagaimana Eropah dilanda zaman gelap kerana tentera salib membakar buku-buku ilmu, dan perpustakaan di Iskandariah atas nama gereja. Jikalau umat Islam turut mengikut perkara itu, bagaimana agaknya kesudahannya.

Fikirkanlah. Syukur Islam berjaya menjadi reostat. Islam telah mengubah keadaan semasa, malahan telah mencetuskan zaman renaissance yang bermula di Itali. Lihatlah bagaimana berbeza reostat dan termometer itu. Jadilah orang yang mengubah keadaan. Beranilah untuk berimpian dan mempunyai wawasan.

Saya faham, sekiranya kita berasa tidak yakin dengan diri kita. Tidak apa, kerana itu adalah fitrah, tapi terpulang kepada kita untuk berusaha keras. Sudah menjadi fitrah manusia itu dilahirkan bersama-sama dengan kekurangan tetapi kita diberikan kudrat untuk menutup kekurangan itu. Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari, begitu juga kejayaan. Tidak apa jikalau pada permulaannya anda lemah dan selalu kalah, tapi masa yang berlalu akan mematangkan anda. Gagal yang paling berbahaya dalam hidup bukanlah ketika gagal tetapi gagal untuk mencuba lagi setelah gagal.

Mari kita sama-sama berusaha dan melangkah mengorak kejayaan di dunia dan di akhirat. Melangkahlah bagaimana cara dan rupa sekalipun, yang penting melangkah sebab setiap yang melangkah pasti sampai ke matlamat. Setiap kejaan bermula dengan langkah yang pertama. Usahakanlah yang pertama itu sebaik dan secepat mungkin.
'
sumber:iluvislam.com

No comments: