Tuesday, January 11, 2011

Monday, January 10, 2011

la tahzan.........

Setiap yang hidup pasti akan menemui mati...itu manusia ciptaan Allah S.W.T...
Kalau ciptaan manusia???lagila jangkaan hayat pendek...manusia serba kekurangan....
Arggg..sedihnyer bila temanku dah xder lagi....belajarla hidup tanpa dia mariam...

Tuesday, November 23, 2010

orang kaya dan orang miskin

Jalan di situ berlopak-lopak besar, terhinjut-hinjut toyota ini dilambung graviti. Ery duduk disebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio Perak, sekejap Kedah mengikut lambungan kereta lagaknya.

Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor. Kelihatan beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.

Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma di depan jantan, tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak, t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.

Ada sebuah jeti buruk di situ. Beberapa nelayan baru sampai dari laut disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah separuh menggelepar diluar meliar mata mencari Shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini. Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini. Tolol!

Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir.

"Nak apa?!"

Dia terketar terkejut, sedikit berundur.

"Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.."

Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng. Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan!

"Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku,tahulah macamana aku nak ajar kau!!"

Berkata sambil meliarkan mata pada Ery yang tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu di tutup rapat.

Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial!

Aku mengalihkan mata ke pantai. Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai,masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!!

"Sudah nak!!" Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak memandangnya, dan kuhulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi. Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemejanya.

"Kenapa ni? Gila?!"

"Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa, mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun hanya seringgit," dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.

Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan. Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah.

Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah, kalau aku mahu bantu, ramai lagi diluar sana. Lupakan saja..

Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit aku meluat melihat Ery yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi berlagak seperti fakir. Mungkin..

Dengan rasa ragu, aku menghapirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus.

"Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang sebanyak ini?"

Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut. Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah, membukanya satu per satu, perlahan-lahan dan terketar.

Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas.

"Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tua sial yang berpura-pura susah.Ambillah semula, nak."

Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki.

"Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi. Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati."

Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak.

Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plastik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat.

Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia. Cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.

- Artikel iluvislam.com

"kerana dirimu begitu berharga"

"Kerana dirimu begitu berharga." Biasa mendengar kata-kata ini diselitan iklan rancangan-rancangan televisyen. Model wanita rupawan pasti menjadi alat untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan. Tanpa disedari, diri yang bangga dipertontonkan sebenarnya telah diperalatkan oleh pihak yang ingin mengaut keuntungan.

Cantik.. adakah pada rupa? Soalan yang pasti jawapannya 'Ya' secara umum.

Tetapi jikalau lelaki memilih isteri hanya semata melihat cantik itu pada rupa, andai hilang cantik itu berubahlah setianya nanti. Mata mula meliar mencari yang jelita. Cinta pudar bertukar rasa.

Namun jika cantik itu dilihat pada budi, kerut di wajah isteri seakan hilang pergi kerna terkenang baiknya budi isteri. Cinta yang disemai semakin utuh bersemi dan terbinalah kasih yang abadi ke syurga-Nya nanti.

Wanita yang dikasihi sekalian,
Jangan kau menilai cantik itu hanya pada paras rupa, bukan itu sebenarnya menjadi ukuran. Kerana pasti nanti ada yang melihat kecantikanmu andai dirimu berakhlak mulia. Kerana akhlak itu tempat tertambatnya cinta pada mata yang melihat.

Andai cantik tetapi tidak berakhlak, ibaratnya seperti bunga dedap. Indah luaran tetapi baunya tidak tertahankan bagi yang menghidu. Mendekati hanya kerna indah, tetapi untuk berlama-lamaan sungguh tidak sanggup sekali.

Andai kurang cantik di mata manusia, tetapi berakhlak mulia, ibaratnya seperti bunga seroja. Biar putih salju, tetapi manisnya dihirup sang lebah menghasil madu. Memberi manfaat pada yang memerlu.

Andai cantik juga berakhlak mulia, itu adalah tambahan buat dirimu. Ibarat mawar menguntum indah, wanginya menarik sesiapa yang mendekati. Namun kecantikannya bukan mudah untuk direnggut kerana ada duri yang tajam mengawasi.

Di antara kuntum-kuntuman bunga ini, jadilah dirimu seperti mawar. Namun andai dirimu bukanlah sejelita pandangan manusia, cukuplah dirimu untuk punyai akhlak yang mulia. Suatu hari nanti, pasti ada lebah yang mengintai meminta izin penuh kesopanan untuk menyunting manismu di taman larangan.

Satu yang kau perlu ingat, kecantikanmu bukan barang tontonan untuk dipamerkan untuk semua lelaki, ia hanya buat suamimu. Yang Allah ciptakan buatmu sebagai pelengkap dan pelindung dirimu. Jagailah hak Allah, nescaya Allah akan menjaga hakmu.

Ketaatanmu untuk menutup aurat itu adalah hak Allah yang perlu kau jagai. Ibarat Dia menumbuhkanmu di taman larangan, ibu bapamu yang menyemaimu dan menjagaimu sehingga tiba saatnya nanti kau akan dibawa keluar oleh seseorang yang boleh menjagaimu pula dengan izinnya. Kerana itu, sebelum engkau dibawanya, hendaklah dirimu bersedia serta menjaga maruah dan ketaatanmu hanya kerana-Nya.

Wanita muslimah yang dikasihi.

Diriku yang hanya sebutir pasir di lautan manusia ini ingin rasanya membawa kalian bersama mengerti bahawa kehidupan ini bukan kehidupan yang kekal. Tiba saatnya pasti kita kan pergi. Kecantikan yang dibangga-banggakan sekian manusia jua tidakkan memanfaatkan kelak. Yang dikira adalah amal soleh, doa anak-anakyang soleh/solehah dan amal jariah. Bukankah semuanya menuntut sebuah akhlak yang mengalir dalam diri dan hati kita??

Ingatanku ini seawalnya hanya kutujukan buat diriku, dan ingatan kasihku pada kalian memungkinkan tanganku ringan mencoretkannya. Kumohon Allah pelihara kehidupan kita dengan keberkatan yang berpanjangan. Semoga bertemu di syurga-Nya kelak insyaAllah. Ameen ya Rabbal Alamin..

- Artikel iluvislam.com

termometer.....reostat....sandiwara

Manusia itu kita boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan termometer dan golongan reostat. Golongan itu dibahagikan mengikut sifat dan ciri-ciri yang ada pada radas itu. Satu pemanipulasi dan satu lagi dimanipulasi. Itulah hakikat manusia hari ini. Ada yang menjadi pemanipulasi atau pengubah keadaan seperti reostat, dan ada yang menjadi seperti termometer yang dimanipulasikan dan berubah mengikut keadaan. Jadi apa motivasi dari hakikat ini?

Sudah menjadi fitrah manusia untuk dilahirkan dengan sifat malu, rendah diri. Ada sesetengah daripada mereka, yang sentiasa berasa sangat malu selalu. Alahai hendak mendengar suara dia punyalah susah. Macam ada emas dalam mulut dia. Ada sesetengah pula tidak tahu malu. Cakap tidak berhenti-henti, orang sudah bagi isyarat berdehem dekat 10 kali dah, tak faham-faham. Uish, memang tak faham bahasa dia ni. Tapi hakikatnya sifat malu atau rendah diri yang tidak dikawal supaya jangan terkurang atau terlebih menyebabkan adanya golongan termometer dan reostat.

Kita mulakan dengan termometer dulu, sebab saya yakin, anda semua kenal sangat benda ini. Ala, kalau kita sakit, ibu kita atau doktor suruh nganga, letak dekat mulut untuk mengukur suhu badan kita. Oh, golongan termometer ni golongan selalu sakit ke? Bukan! Termometer dalam makmal fizik ke, yang kuning panjang, yang kita buat main kadang-kadang tu? Bukan jugak! Perkara yang saya nak ketengahkan ialah sifat termometer itu. Berubah ikut keadaan semasa, atau dalam kata lain dimanipulasikan oleh keadaan sekeliling.

Kalau kita perhatikan dunia hari ini, memang terdapat banyak golongan termometer ini. Disebabkan kurang keyakinan dalam diri, atau malu, atau rendah diri, mereka lebih suka ikut sahaja orang di sekeliling mereka. Mereka takut untuk membuat keputusan sendiri, kerana mereka menjangkakan apa-apa yang mereka buat akan dicemuh dan dibangkang orang. Jadi mereka takut untuk mengambil langkah permulaan, sebaliknya lebih suka mengikut apa-apa yang orang dah buat.

Tidak dinafikan, jalan yang telah dilalui oleh orang lain dan terbukti selamat, itulah jalan atau pilihan terbaik. Tapi kejayaan kita akan setakat dibawah naungan orang yang pernah berjaya itu. Tidak ada bezanya dan tidak akan maju. Jikalau misalnya kawan kita itu, memilih hendak mengambil jurusan perakaunan, dan terbukti dia berjaya. Malahan dia mendapat tawaran bekerja di Bank Negara. Wah! Kalau kita ikut apa-apa dia buat mesti kita akan berjaya juga. Kalau anda rasakan ini adalah betul, sebenarnya salah.

Ada pepatah Melayu berbunyi "rambut sama hitam, hati lain-lain" dan pepatah Inggeris yang berbunyi "it's take all sort to make the world". Pepatah ini sengaja dipetik, kerana pepatah ini memberi maksud, setiap orang adalah tidak sama. Walaupun sepasang kembar dilahirkan dengan rupa dan suara yang sama sekalipun, mereka tetap berbeza. Begitu juga, anda dengan kawan anda. Anda dengan dia adalah berbeza. Mengapa harus, anda ikut cara dia. Mungkin dia boleh berjaya dalam bidang perakaunan itu, tapi bolehkah anda? Bukan bermaksud hendak merendahkan diri sesiapa, tetapi berfikirlah sejenak, kekuatan setiap orang tidak sama. Ada orang cenderung ke arah sains, ada yang cenderung ke arah kira-kira dan lain-lain.

Bukan apa, kadang-kadang dalam hidup ni, kita minat pertanian. Bila beritahu ibu bapa kita, ibu bapa kata bidang itu, tidak ada masa depan. Seraya berkata "Pernah ke dalam keluarga ni ada orang berjaya dalam bidang ini?" Justeru menyebabkan kita tidak yakin, malu dengan keputusan kita itu. Maka datanglah penyakit termometer dalam diri kita. Kita berubah ikut keadaan semasa, tanpa kerelaan hati. Kalau masa itu, trend mengambil profesion perguruan yang paling terjamin dan popular, maka kita pun terikut-ikut mengambil profesion itu. Terseksalah kita andai profesion itu tidak kena dan tidak serasi dengan kita. Hal ini berlaku kerana kita menjadi golongan termometer.

Kita mengikut keadaan di sekeliling kita. Kita dimanipulasikan oleh keadaan sekeliling, sehinggalah apabila kita tersedar suatu hari nanti, kita sudah tersesat dari landasan asal. Untuk maju kehadapan dan mencipta kejayaan, seseorang itu hendaklah memacu kejayaan mengikut acuannya sendiri. Setiap orang tidak dilahirkan untuk menjadi pandai. Mungkin kepandaian itu Allah telah pindahkan kepada kemahiran yang lain. Kita lihat contoh Dato' Jimmy Choo. Kalau diteliti latar belakangnya, ternyata pencapaian akademiknya bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi beliau tidak menjadi termometer. Beliau cuba menongkah arus semasa, dengan menceburi bidang pembuatan kasut. Sesuatu yang asing pada masa itu, dan lihatlah bagaimana dia berjaya.

Kenali potensi diri. Cuba duduk sejenak, kenal dengan diri anda sendiri. Lihat apa kecenderungan anda? Membuat sesuatu yang anda minati dan mahir adalah lebih baik daripada membuat sesuatu kerja kerana terikut-ikut dengan orang lain. Perubahan paling baik ialah perubahan yang berlaku dari dalam dan dekat dengan diri, minat anda kerana itu kekal, perubahan paling buruk ialah perubahan luaran kerana itu lakonan. Fikirkanlah, kalau anda sekadar menjadi termometer, mengikut keadaan sekeliling sahaja tanpa kerelaan, dan tanpa pengetahuan mendalam tentangnya, sudah tentu anda sedang menganbil jalan yang sukar. Di dalam Al-Quran sendiri ada ditegaskan supaya jangan mengikuti sesuatu perkara tanpa pengetahuan yang mendalam tentangnya.

Allah pernah berfirman dalam surah Al-Israk ayat 36: Janganlah kamu mengikut apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.

Lihatlah cara Islam itu sendiri disebarkan. Tiada paksaan dikenakan. Misalnya ketika Salahudin Al-Ayubi berjaya menakluki Kota Jerusalem, penduduk Kristian tidak dipaksa memeluk Islam, walaupun majoriti ketika itu beragama Islam. Hal ini demikian kerana Islam tidak mahu penganutnya terdiri daripada golongan termometer iaitu golongan yang memeluk Islam kerana keadaan semasa. Apabila keadaan yang sedia ada berubah, keimanan itu juga turut berubah bersama. Islam amat menekankan kesedaran dan minat yang mendalam di dalam hati, dan sebagai umat Islam kita haruslah membuang sikap atau ciri-ciri termometer itu.

Beranilah untuk membuat keputusan sendiri. Berani mengambil tanggungjawab dan membuat sesuatu perkara sendiri. Janganlah terlalu bergantung kepada sesuatu melainkan Allah. Jikalau selama ini kita selalu bergantung kepada ibu bapa untuk membuat keputusan, ingatlah kematian akan menjemput mereka suatu hari nanti. Begitu juga dengan mengharapkan kawan, isteri atau guru. Setiap yang hidup pasti merasai mati. Disaat kita hilang pergantungan akan hilang arahlah diri kita. Tidak tentu hala dan tenteram.

Disinilah perlunya menjadi golongan reostat, iaitu golongan yang yang mengubah keadaan dan memanipulasikan keadaan. Kita yang tentukan apa-apa kita hendak kita perlu buat. Keadaan sekeliling diambil kira juga, tapi kita berpijak diatas keputusan sendiri dan memulakan langkah pertama, bukannya mengikut orang lain.

Allah menegaskan perkara ini dalam Al Quran dalam surah Ar-Raad ayat 21 yang bermaksud: Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubahnya sendiri.

Jelasnya dalam firman diatas Allah menyuruh kita berusaha sendiri mengubah nasib kita. Kita harus mengubah keadaan, harus berani menongkah arus. Bukannya mengikut-mengikut keadaan sekeliling dan berharap keapada orang lain. Berpegang kepada ayat inilah, umat Islam mencapai kegemilangannya sekitar abad ke-14. Jikalau umat Islam pada waktu itu, menjadi golongan termometer, golongan yang mengikut keadaan semasa, sudah tentulah dunia akan hancur. Bayangkanlah, bagaimana Eropah dilanda zaman gelap kerana tentera salib membakar buku-buku ilmu, dan perpustakaan di Iskandariah atas nama gereja. Jikalau umat Islam turut mengikut perkara itu, bagaimana agaknya kesudahannya.

Fikirkanlah. Syukur Islam berjaya menjadi reostat. Islam telah mengubah keadaan semasa, malahan telah mencetuskan zaman renaissance yang bermula di Itali. Lihatlah bagaimana berbeza reostat dan termometer itu. Jadilah orang yang mengubah keadaan. Beranilah untuk berimpian dan mempunyai wawasan.

Saya faham, sekiranya kita berasa tidak yakin dengan diri kita. Tidak apa, kerana itu adalah fitrah, tapi terpulang kepada kita untuk berusaha keras. Sudah menjadi fitrah manusia itu dilahirkan bersama-sama dengan kekurangan tetapi kita diberikan kudrat untuk menutup kekurangan itu. Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari, begitu juga kejayaan. Tidak apa jikalau pada permulaannya anda lemah dan selalu kalah, tapi masa yang berlalu akan mematangkan anda. Gagal yang paling berbahaya dalam hidup bukanlah ketika gagal tetapi gagal untuk mencuba lagi setelah gagal.

Mari kita sama-sama berusaha dan melangkah mengorak kejayaan di dunia dan di akhirat. Melangkahlah bagaimana cara dan rupa sekalipun, yang penting melangkah sebab setiap yang melangkah pasti sampai ke matlamat. Setiap kejaan bermula dengan langkah yang pertama. Usahakanlah yang pertama itu sebaik dan secepat mungkin.
'
sumber:iluvislam.com

Wednesday, November 10, 2010

andai seorang lelaki itu datang...

Andai seorang lelaki datang kepadamu ketika kau perlukan teman...
Andai seorang lelaki datang kepadamu dengan ciri-ciri lelaki idaman...
Andai seorang lelaki datang menegur dan membuatmu terhibur...
Andai seorang lelaki datang menanyakan pendapatmu tentang dirinya...
Andai seorang lelaki datang menanyakan tentang ketampanan wajah dan keromantikan dirinya kepadamu...
Andai seorang lelaki datang memintamu membetulkan kolar baju dan rambutnya...


Andai seorang lelaki datang kepadamu sambil merapatkan badannya kepadamu...
Andai seorang lelaki datang tanpa segan silu padamu walau dirimu sudah pemalu, sopan dan ayu...
Andai datang waktu itu, apakah tindakanmu...

MUNGKIN PADA PANDANGAN LELAKI ITU,

"Kau sangat comel pada mataku"
"Kau dah seperti adik kandungku"
"Lu keras macam tomboy takkan lu nak feeling dengan gua"
"Kau dan aku bukan alim sangat jadi tak perlu hipokrit"
"Kaulah kekasihku, kau perlukan belaian dan sokongan moral dariku"
"Aku tahu kau sunyi, aku tak kisah kalau aku kau nodai. Aku sudi dan sabar menanti"
"Oh, kau adalah bakal isteriku, aku harus berlatih dari sekarang 'menumpangkan' bahuku"
"Ku berbuat begini tiada yang tahu, kau takkan cerita pada orang lain"

TETAPI WAHAI PEREMPUAN, ADAKAH ITU YANG KAMU MAHU DAN DAMBAKAN? ADAKAH ITU YANG KAMU PERLUKAN?

Andai seorang lelaki itu datang...
Dan hanya dirimu pengawal gelanggang...

BERANIKAN diri untuk BERUNDUR
GAGAHKAN diri untuk TIDAK CAIR DILEBUR
TABAHKAN diri untuk menjadi PEREMPUAN EKSLUSIF YANG UNGGUL!

Perempuan yang taat hanya pada lelaki bernama ayah dan suami
Perempuan yang sedar maruah dan keunikan diri
Perempuan yang takkan cair dengan pujukan rayu 'syaitan' lelaki
Perempuan yang punya jati diri, berundur kerana TAK MAHU SUAMINYA NANTI DIBAYANGI BEKAS TEMAN-TEMAN LELAKI.
Sesungguhnya, neraka itu hakiki...

Ingatlah wahai diri yang bernama perempuan,
Andai seorang lelaki itu datang...
Beranikanlah diri untuk BERFIKIR dan MENOLAK dengan mata...

iluv islam.com

Wednesday, September 29, 2010

Thursday, August 19, 2010

La Tahzan...

Setiap ciptaan Allah mempunyai keistimewaan tersendiri

“biarlah hari-hari berbuat sesuka hatinya,
Terimalah segala ketentuan yang ada
Muktamad dengan kelapangan dada”

Sekarang cuba pula perhatikan makhluk manusia dengan bentuknya yang indah, kepelbagaian bangsa, bahasa dan suaranya. Sesungguhnya Allahlah telah menciptakan manusia dalam bentuk yang paling indah berbanding makhluk-makhluk lain, sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya:
“ Allah telah menciptakan dalam bentuk yang paling bagus”
(surah At-Taghabun :3)

Pandanglah langit dengan binaanya yang kukuh, bintang dengan kelip-kelipnya, matahari dengan sinarnya, tata surya dengan susunannya, bulan dengan cahayanya, angkasa dengan pelanginya. Kemudian pandanglah bumi, bagaimana Allah telah menghamparkannya. Bumi yang mengeluarkan air bersih dan menghidupkan tumbuh-tumbuhan dan gunung-ganang yang menjadi pakunya.

Tataplah lautan luas dan sungai-sungai yang mengalir. Perhatikanlah malam, pagi, cahaya , bayangan, awan, dan mendung yang berjalan di angkasa raya. Semua ini diatur dengan rapi. Ada mawar, buah-buahan yang matang, susu, madu, semut, haiwan melata yang kecil, burung-burung kicauannya, haiwan-haiwan dan lain-lain. Semua itu adalah keindahan yang tiada tandingan dan menjadi pemandangan yang tidak aka ada habisnya.

“maka bertasbihlah kepada Allah diwaktu kamu berada ketika petang dan ketika kamu berada diwaktu Subuh. Bangi-Nyalah segala puji dilangit dan di bumi, dan di waktu kamu berada ketika petang dan ketika kamu berada di waktu Zuhur. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan menghidupkan bumi sesudah matinya. Seperti itulah kamu akan dikeluarkan (dari Kubur).
(Ar-Rum : 17-19)

“janganlah hanya melihat aspek kehidupan yang mengerikan, tetapi lihatlah juga aspek kehidupan-Nya”


Dipetik dari buku “Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia” ,
Oleh: Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni.

Monday, August 9, 2010

ntah...

selesai sudah majlis konvokesyen FEP, UKM. Seronok tengok gambar kawan-kawan semua kat facebook. Bergambar dengan family, pak we, tunang, suami (ada ke..)...tapi aku macam tak der feel pon. Tak rasa pon yang aku dah konvo, dah jadi alumni ukm..kosong jer rasa. kenapa yer...

Sunday, August 8, 2010

I'm graduate now



Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

08.08.2010,..Today is my convocation, the day that I officialy bergelar graduan ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, UKM. Thanks to all lecturers who teach me and yang telah banyak mencurahkan ilmu kepadaku expecially prof Ghafar penyelia tesisku. I’m very happy coz my family sudi datang. Thanks to my mom n dad coz bersusah payah came from Kedah nun. Even datang sekejap, dapat round kat masjid Putra tu kira ok la kan. Tak pe nanti kalau siti ada keta sendiri blehla bawa jejalan lama sikit…hehe. Ala sedihnya tak dapat bergambar dengan Prof kesayanganku,…sory la prof tak sempat tadi..kalau tak blehla sy try jubah prof yang lawa tu. .huhu. dengan kawan-kawan pon ramai tak sempat..kesuntukan masa la katakan..huhu..hope will meet u all again. Esok keja dah,hurm kalau tak bleh pergi UKM balik. Rindu pulak rase..rindu kat FEP. Alhamdulillah before konvo lagi aku dah dapat kerja walaupon sementara tapi pengalaman tu penting kan. Bila orang tanya tak la jawapannya nanti “honoured unemployed”.

Jauh sangat beza hidup sebagai seorang student dengan yang dah bekerja. Bila dah kerja banyak cabaran, maram-macam ragam manusia dapat jumpa. Kadang rasa seronok kadang nak geram pun ada…tapi itulah kehidupan dunia kan. Bak kata my boss “u baru nak mula, banyak lagi yg kamu perlu tempuh, perlu belajar…gunakan pengalaman kerja ni sebaik mungkin untuk jadi lebih baik”…

“ijazah terbaik datang dari jalanan,pengalaman becakap dan bersalaman … “

Hidup adalah sebuah KESEMPATAN…KESEMPATAN…untuk berbuat KEBAIKAN ataupun KEJAHATAN…Engkaulah yang memilihnya..tetapi ingat, setiap yang kita lakukan pasti akan diminta pertanggungjawaban dihadapan yang telah memberi kita kesempatan untuk hidup didunia ini…maka pilihlah yang terbaik buatmu

"Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup. Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian"

Wassalam.

Monday, August 2, 2010

TERBANG TINGGI


BY-YASIN

Kau ingin tahu terbang tinggi apa pengertiannya?

Kau perlahan-lahan melangkahkan kaki
Cuba mendaki sejauh lelangit yang tinggi
Seperti mereka yang telah merasa
Terbang tinggi apa pengertiannya

Hidupnya bagaikan insan yang asing
Si musafir berkelana di bumi yang lain
Tiada bermegah tidak terlalu lemah
Sebaik perkara yang sederhana

Katakan hidup dengan pujian manusia
Atau mati dengan cacian mereka
Pengertian hidup bukanlah apa yang kau sangka

Jangan kesal jangan sesal dengan siapa sebenarnya kita
Dan terbang tinggi di langit yang luas
Terima dirimu seadanya

Jangan caci pada si dia hina
Jangan benci pada yang tak mengertinya
Kasihanilah dia yang tak menghayatinya
Jangan takut kiranya kau berbeza

Perbezaanya kita ilmu dan sikah
Mungkin kelak kau akn mengertinya
Pengertian hidup bukanlah apa yang kau sangka

Jangan sesal jangan kesal
Jangan kesal jangan sesal
Terima dirimu seadanya
Dan terbang tinggi dilangit yg luas

Monday, July 26, 2010

luahan hati

Bila seseorang mendapat suatu rezeki yang tak disangka, ada je orang yang mempersoalkannya...ketahuilah bahawa Allah penentu segalanya.

Tuesday, July 20, 2010

Setiap kali ada permulaan, pasti ada akhirnya…
Setiap kali ada awal pasti ada hujungnya…

Begitu juga,
Setiap kali ada hari pasti ada yang menanti…
Setiapkali ada minggu pasti ada yang menunggu…
Setiap kali ada bulan pasti ada yang akan berdepan…
Setiap kali ada tahun pasti ada yang berpohon…

Yang pasti itu…
Adalah janji Ilahi yang tiada siapa ketaui isinya

- Siti Munazakiah-

Friday, July 16, 2010

16 Julai 2010

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Yeah, cubaan menukar template blog baru berjaya. Nasib bek tak ilang apa-apa. Kalau x nak letih pulak nak memasukkan semula apa yang hilang. Bosannya aku tak terkata. Malam-malam update blog je kojenye. Pastu aply keja. Bila dah dapat interview, adehh...fikir plak nak pegi ke tamau. Macam-macam nak kena ambil kira. tamat

Sunday, July 11, 2010

takdir

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

setelah tak belajar secara formal lagi nih, hidupku terasa kosong. Tak tahu lak apa nak tulis kali nih, so aku kongsikan satu artikel ni. Terasa menarik ja bila baca...

PARALLEL KEHIDUPAN

BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM

Firman Allah:

Allah tidak akan merubah nasib (seseorang atau) sesuatu kaum, sehingga kaum (atau orang itu)
berusaha (membuat komitmen) untuk mengubah nasibnya. (Ar-R'aad : 11)

Maka jelas dari firman Allah, membuktikan betapa Allah telah memberikan manusia suatu kelebihan iaitu kebebasan bertindak dengan kudrat yang dikurniakanNya supaya manusia dapat menggunakan kudrat ini untuk memperbaiki dan memastikan kehidupan manusia itu sentiasa dalam keadaan yang baik.

Firman Allah ini juga bermaksud, bahawa kita TIDAK boleh menyerahkan segala hal-hal yang berkaitan dengan nasib hidup kita semata-mata kepada Allah untuk memberikan kita kehidupan yang baik.

Jika inilah yang kita praktikkan, maka bila kita menemui kesusahan dalam hidup, sudah tentulah kita akan menyalahkan Allah. Sedangkan Allah itu Maha Adil, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mustahil Allah berlaku kejam kepada hamba-hambaNya yang sangat disayangiNya.

Allah telah menganugerahkan kepada kita suatu 'kuasa eksekutif' sebagai bekal sementara kita hidup didunia ini, untuk menjalankan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi dan juga mengabdikan diri padaNya.

Hidup yang dianugerahkan pada kita ini adalah kehidupan yang "FREE WILL",bukan dikontrol atau dikawal mutlak oleh Allah. Jika kita menganggap segalanya sudah ditentukan atau sudah ditakdirkan, mengapa pula Allah berfirman seperti diatas?

"Mengapa pula ada kitab catatan malaikat dikiri kanan kita?
Ramai yang sudah tersalah anggap tentang konsep takdir ini."



Lauh Mahfuz

Hakikatnya, segala apa jua yang kita fahami sebagai takdir, ketentuan, nasib dan sebagainya di seluruh alam semesta ini, memang telah diberikan ketentuan oleh Allah S.W.T dan segalanya tercatat (direkodkan)dan disimpan disebuah tempat yang kita ketahui dengan nama Lauh Mahfuz.

Firman Allah:

" Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab ( Lauh Mahfuz ) yang terang nyata." (Al-An'aam :59)

Lauh Mahfuz ini termasuk dalam perkara ghaib. Al-Qur'an menerangkannya hanya sekali sahaja dalam ayat 21-22 surah al-Burooj. Maksud ayat,

"Bahkan yang didustakan mereka itu ialah al-Qur’an yang mulia; yang tersimpan dalam Lauhul Mahfudz."

Imam Abul Fida' Ismail ibn Kathir (Tafsir Ibn Kathir) meriwayatkan beberapa keterangan daripada sahabat tentang Lauh Mahfuz, antaranya :

1. Daripada Hasan al-Basri: “Pada sisi Allah, terletak Lauh Mahfudz, dari situlah diturunkan daripadaNya kehendakNya terhadap siapa yang dikehendaki daripadaNya.”

2. Daripada Ibn Abi Hatim, "Tiada sesuatu yang ditentukan oleh Allah melainkan ditentukan terlebih dahulu dalam Lauh Mahfudz baik al-Qur'an, apa yang sebelumnya atau yang sesudahnya."

Hakikat Lauh Mahfuz yang sebenarnya ialah untuk menggambarkan ilmu Allah iaitu Allah tahu segala-galanya hatta perkara yang belum berlaku. Mengetahui bukan bermakna meletakkan ketentuan mutlak yang tidak boleh diubah-ubah lagi, sesuai dengan firmanNya dibawah:

Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki. Dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab
(Lauh Mahfuz). (Ar-Raad : 39)

Sabda Rasulullah SAW:

"TIDAK ADA YANG DAPAT MENOLAK KETENTUAN TUHAN KECUALI DOA, dan tidaklah yang menambah umur kecuali berbuat kebajikan. Dan seorang laki-laki akan diharamkan baginya rezki karena dosa yang diperbuatnya."

Hadis yang ini sudah nyata melarang kita hanya menyerah saja kepada takdir yang kita sendiri belum tahu rahsianya.


Sekarang, saya ingin mengajak anda semua berbincang dengan lebih radikal atau dengan lebih bebas lagi tentang hakikat Takdir yang telah ditentukan, dan dicatat (direkod) di dalam Ummul Kitab yang tersimpan di Lauh Mahfuz, supaya lebih mudah kita fahami tentang hakikat yang sebenar akan takdir didalam parellel kehidupan manusia.

Takdir adalah ibarat Basic Program (Program Asas)

Apa yang telah kita fahami dari penjelasan pada Surah Al-An'am ayat 59 tadi ialah, setiap manusia, apabila diciptakan Allah, telah ada ketentuan takdir yang dikhaskan untuk manusia itu, dan segalanya telah direkodkan didalam 'Ummul Kitab' yang tersimpan di Lauh Mahfuz.

Ketentuan takdir ini adalah merangkumi segalanya iaitu Rezekinya, Jodohnya, Ajalnya, Kelahirannya dan segala-galanya tentang seseorang itu.

Marilah kita buka minda kita seluas-luasnya, dan melihat serta memahami keterangan ayat-ayat Allah dengan pandangan dari sudut berbentuk Sains. Saya melihat bahawa Ummul Kitab adalah merupakan tempat penyimpanan data untuk program setiap makhluk terutamanya manusia.

Apabila seseorang manusia dicipta, dia memerlukan program yang khas untuk membolehkan dia hidup nyata di bumi yang fana ini . Tanpa program, kita tidak akan berupaya untuk hidup (Program needed to run into the system). Apa yang saya maksudkan ialah, setiap program (takdir) ini, sangat detail dan terperinci untuk membolehkan kita menjalani kehidupan.

Adapun berkenaan data yang direkodkan ini, Allah s.w.t menyatakan pelaksanaan terhadap sesuatu ketentuan (program) yang telah ditetapkan semenjak azali sebagai al-Qada’ dalam ayat ini

Firman Allah s.w.t:

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “dan Allah jua yang menciptakan kamu dan (mencipta)apa yang kamu lakukan” [Al-Saffat: 96].

Dan juga berdasarkan sabda Nabi s.a.w:

“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”

Maksudnya: “Allah s.w.t telah menulis takdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”. [Muslim].

Contoh: Ali dilahirkan pada 21hb April 2010, detail program yang Allah berikan untuk dia sangat detail iaitu dilahirkan ditangan doktor mana, selepas dilahirkan, akan dibawa kemana, dimandikan, diazankan oleh siapa, kemudian diberikan susu, dan seterusnya, hanya Allah yang Maha mampu mencipta program yang amat lengkap dan sempurna untuk setiap makhluk ciptaanNya.

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:

قَالَ كَذَلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَلِنَجْعَلَهُ آيَةً لِلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِنَّا وَكَانَ أَمْرًا مَقْضِيًّا

Maksudnya: “ia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.” [Maryam: 21].

Tanpa program (Takdir) ini, mustahil manusia dapat hidup. Contohnya, jika Ali dilahirkan tanpa program, Ali cuma akan lahir dan kemudian 'Freeze'. (Kaku dan pegun) kerana tiada apa-apa program yang diberikan padanya.

Akan tetapi, semua program yang diberikan ini (telah dicatat/direkod) hanyalah basic program untuk seseorang itu, tujuannya adalah untuk membolehkan manusia berupaya hidup dimukabumi yang fana ini.

Selanjutnya, tentang bahagia atau tidak, berjaya atau tidak kehidupan seseorang itu, manusia diberikan Free Will (Kebebasan memilih) dalam pilihan-pilihan yang dipilih sendiri oleh manusia apabila telah baligh dan sempurna akal. Maka kerana itu, Nabi S.A,W telah bersabda dgn Hadis diatas iaitu:

TIDAK ADA YANG DAPAT MENOLAK KETENTUAN TUHAN KECUALI DOA,tidaklah yang menambah umur kecuali berbuat kebajikan...

contoh: mungkin usia Ali didalam basic programnya ialah hingga 50 tahun, akan tetapi Ali selalu berdoa supaya panjang umur, dan dia juga banyak melakukan kebajikan (seiring dengan doanya) maka data rekod didalam basic program Ali didalam Ummulkitab tentang ajalnya dipadamkan (delete) dan ditukar kepada 70 tahun.

Begitu jugalah tentang jodoh, rezeki, kejayaan, kegagalan dan sebagainya, semuanya adalah bergantung kepada usaha manusia itu sendiri, bukan kerana ditakdirkan oleh Allah.

Apa yang kita ketahui sebagai takdir selama ini adalah merupakan Basic Program yang diwujudkan untuk membolehkan kita hidup, bernafas dan berdiri dimukabumi ini. Akan tetapi, kita sendiri diberikan peluang untuk menentukan sendiri masa depan dan nasib kita sendiri. Maka disinilah pula terletaknya kepentingan Bersangka baik sekiranya kita ingin kehidupan kita mendapat kejayaan dan dipermudahkan di dunia dan mendapat perlindungan di akhirat, sesuai dengan firmanNya:


Aku bersama sangkaan hambaku padaku, maka hendaklah ia
berprasangka dengan apa yang ia inginkan
( bukan yang ia risaukan atau khuatirkan -Hadis Qudsi :Thobarani dan Hakam).

Selain dari itu, untuk memudahkan lagi kehidupan manusia, dibekalkan juga Hukum-hukum Alam yang membantu manusia untuk hidup seperti Hukum graviti, Hukum Tarikan dan sebagainya.
Dan ingat lah, Allah hanya akan memberikan yang terbaik sahaja untuk semua hambaNya.

Di zaman Omar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Omar. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?”

Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.”

Khalifah Omar ra amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.”

Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?”
Berkata Omar Al-Khattab ra: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.”

Maksudnya, manusia diizinkan Allah utk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.



Hukum sebab musabab atau sebab akibat adalah takdir (program yang maha canggih, sempurna dan effisien).

Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia.

Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur.

Mengikut sebuah riwayat yang sahih, khalifah Omar Al-Khattab ra enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia sedang dilanda wabak taun.

Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah ra bertanya kepada Omar ra: “Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?’ Omar ra menjawab: “Aku lari dari takdir Allah kepada takdir yang lain.” (Tarikh At-Tabari)

Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri.

Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.

Ingatlah, sekiranya kita telah menunjukkan komitmen yang gigih dalam usaha mecapai sesuatu kejayaan atau tujuan tetapi usha kita itu tidak berjaya, ianya adalah kerana Allah mengatasi segala perancangan kita dengan tujuan untuk memberikan HANYA YANG TERBAIK UNTUK PARA HAMBANYA sesuai dengan firman Allah:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah :216)

NOTA : Ummul Kitab diketahui umum sebagai al-fatihah, kerana ia adalah penghulu Al-Qur'an. Tetapi Ummul Kitab yang dibincangkan disini ialah Ibu Kitab atau Kitab Induk (yang merekodkan segala urusan tentang takdir, nasib, rezeki, qada' dan qadar, jodoh, ajal, maut dan kelahiran seperti yang difirmankan :

وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ

Maksudnya: “dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata”. [Yasin: 12]

Berkata Ibn Kasir r.h: “Semua perkara yang berlaku telah pun ditulis (sebelum berlakunya) dalam kitab yang dibentang dan ditetapkan dalam Lauh Mahfuz dan maksud Imam Mubin dalam ayat ini adalah Ibu Kitab” [Ibn Kasir, 6/568]


Wallahuaklam,

Aku mohon keampunan dan petunjukMu ya Allah andainya aku melakukan kesilapan dalam penulisan ku ini. Aku hanya melakukan satu perbincangan bebas bertujuan supaya mendapat kefahaman yang lebih benar tentang KeadilanMu dan juga kebebasan berikhtiar yang Kau kurniakan pada hamba-hambaMu.

www.iluvislam.com
Oleh : leedee
Editor : naadherah